Liga Super Malaysia Berita

MFL rangka SOP untuk penonton di stadium musim depan

CEO MFL, Datuk Ghani Hassan mengesahkan pihaknya telah merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk penonton yang hadir ketika perlawanan Liga Malaysia bagi saingan musim 2021.

Ini selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memperkenalkan SOP yang akan turut mengambil kira pertandingan sukan.

“MFL telah pun bersedia dengan SOP mengenai kemasukan penonton, tiket, pintu stadium dan zon tempat duduk penonton,” katanya kepada Astro Arena.

“Sekiranya zon A dikesan positif COVID-19, maka penonton di zon itu sahaja yang akan buat saringan.

“Umur tertentu melibatkan peringkat tinggi dan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk demi keselamatan semua pihak.

“Selalunya penjarakan 1 meter diamalkan tetapi di stadium, kami akan mengenakan SOP 1.5m untuk jarak yang lebih jauh di antara satu sama lain.

“Ada stadium dengan tempat duduknya masih di atas simen, jadi saya minta semua pasukan ini bersedia untuk bertindak sekiranya penonton dibenarkan masuk mengikut peratusan tertentu pada musim akan datang.”