Sistem petunjuk prestasi utama (KPI) yang diperkenalkan oleh pemilik Kelantan, Norizam Tukiman nampaknya memakan diri apabila beberapa pemain utama bertindak meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.
Bukan itu sahaja, tawaran pasukan lain yang lebih baik juga mendorong Nik Akif Syahiran Nik Mat, Nazrin Nawi, Shahrul Nizam Roshasni dan Danial Ashraf Abdullah membuat keputusan untuk mengisi borang pembatalan kontrak.
Sedangkan Kelantan sebenarnya berhasrat untuk mengekalkan semua pemain sedia ada apabila menawarkan kontrak baharu.
Malah, Yusri Che Lah juga telah ditawarkan kontrak lanjutan, namun beliau menolak tawaran tersebut dan sebaliknya menerima tawaran sebagai jurulatih Projek Skuad FAM-MSN yang akan bersaing dalam Liga Premier musim depan.
Padahal, tawaran kontrak untuk sebuah pasukan profesional sudah tentu jauh lebih lumayan berbanding mengendalikan pasukan pelapis.
Apa yang membuatkan beberapa pemain utama sanggup membatalkan kontrak mereka?
Bekas penyerang Kelantan, Danial Ashraf Abdullah mendakwa, KPI baharu yang ditetapkan pengurusan pasukan akan menyebabkan pemain hanya akan menerima gaji penuh jika memenangi kejuaraan.
“Ini kali pertama dalam karier bola,” katanya kepada Astro Arena.
“Kalau dapat tiga piala, baru dia akan bayar penuh akhir tahun itu. Kalau gaji dalam RM20,000 sebulan, kami akan menerima RM6,000 sahaja.
“Jadi ini faktor saya tinggalkan Kelantan sambil mahu mencari pengalaman di luar.”
Isu KPI itu turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali.
Katanya, beberapa pemain Kelantan mahu mendapatkan nasihat dari PFAM sama ada KPI itu adil buat para pemain.
Justeru, beliau menyeru Kelantan supaya membuat bayaran gaji penuh kepada para pemain kerana pendekatan KPI sedemikian tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan bola sepak profesional sebelum ini.
“Ada beberapa pemain yang cuba mendapatkan nasihat kami. Kami benar-benar terkejut apabila perkara sebegini timbul dalam era profesional.”
Bagaimanapun, Norizam tampil mempertahankan pendekatannya.
Katanya, kaedah itu dilakukan demi kebaikan pasukan untuk jangka panjang.
Beliau tidak berhasrat untuk berbelanja besar mahupun mengekalkan barisan pemain bintang buat menghadapi saingan musim depan.
Namun, beliau menerima dengan hati terbuka jika pemain mahu berhijrah.
“Mereka tidak bersetuju, pada mereka macam mana hendak menang kalau pasukan lemah.
“Itulah tujuan KPI, semua orang perlu menuju ke arah KPI. Kalau tidak, kena kad merah dan goyang kaki pun tidak mengapa.
“Sebenarnya saya sudah ada senarai pemain yang saya mahu kekalkan.
“Sebagai pemilik baru, mereka sepatutnya perlu melihat apa yang saya mahu buat kepada kelab, bukannya melompat ke kelab-kelab yang mereka tidak tahu lagi sama ada mereka akan dijaga atau tidak.”
Isu KPI ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan Kelantan untuk bersaing dengan kompetitif pada musim depan, serta mencapai misi layak ke Liga Super pada 2022.