Liga Super Malaysia Berita

Annuar Musa akui jumpa pengurusan Rakyat United

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui ada berjumpa dengan pengurusan Rakyat United baru-baru ini.

Ini selepas beliau menyatakan bahawa mungkin akan ada pasukan bola sepak yang mewakili Putrajaya dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Kata Annuar, cadangan tersebut sedang dibincangkan di semua peringkat termasuk berbincang dengan pengurusan Rakyat United serta menyatakan hasrat itu secara rasmi kepada FAM.

“Memang betul saya bertemu dengan pengurusan Rakyat United yang asalnya Felda United FC (FUFC) dan mereka telah dimiliki syarikat-syarikat tertentu,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata masih belum ada sebarang keputusan mengenai penubuhan pasukan bola sepak tersebut.

“Saya hanya meninjau dan buat masa ini tiada apa-apa keputusan, kalau ada rezeki dan jodoh… harapan saya agar ada pasukan yang mewakili rakyat dan warga Putrajaya.”

Kemunculan kelab Rakyat United di media sosial menimbulkan spekulasi bahawa ia adalah penjenamaan semula pasukan Felda United FC.

Menerusi hantaran laman Facebook pada 17 Okt, kelab bola sepak itu menyatakan bahawa Rakyat United adalah sebuah pasukan yang dijenamakan semula dengan pemilikan 100 peratus syarikat korporat.

Malah, kelab itu sudah membuka pemilihan untuk mana-mana pemain amatur atau profesional yang berminat untuk menyertai kelab berkenaan bagi saingan Liga Super atau Liga Premier, Piala Presiden serta Piala Belia.

Kemungkinan besar, Annuar berminat untuk menjadikan Rakyat United sebagai sebuah pasukan bola sepak profesional yang mewakili Putrajaya.