Liga Super Malaysia Berita

Kedah layak ke Piala AFC, Terengganu tamatkan musim 2020 di tangga ke-3

Kedah melayakkan diri ke Piala AFC musim 2021 selepas menewaskan Perak 3-2 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan Helang Merah mendahului menerusi gerakan individu daripada Kpah Sherman pada minit 28.

Fadzrul Danel mengukuhkan kedudukan Kedah menerusi jaringan pada minit ke-31.

Walaupun selesa mendahului 2-0, Kedah dikejutkan dengan kebangkitan Perak yang berjaya menyamakan kedudukan sebelum separuh masa pertama berakhir apabila Leandro menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit menerusi sepakan penalti pada minit ke-42 dan gol tandukan pada masa kecederaan.

Kedah kembali di depan pada separuh masa kedua apabila pertahanan Kedah, Renan Alves menjaringkan gol tandukan pada minit ke-63.

Perak juga mempunyai peluang untuk menyamakan sepanjang separuh masa kedua namun gagal disudahkan dengan baik, sekali gus memberikan kemenangan buat Kedah.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Kedah menamatkan musim selaku naib juara, sejak kembali ke Liga Super pada 2016.

Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin juga mencatatkan rekod baharu apabila menamatkan musim Liga Super di kedudukan terbaik, berbanding tempat ke-3 pada 2016, tempat ke-4 pada 2017, tempat ke-6 pada 2018 dan tempat ke-4 pada musim lepas.

Di Kuala Terengganu, Pahang mendahului pada minit ke-12 menerusi jaringan padu oleh Nik Sharif Haseefy.

Terengganu kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Dominique Da Sylva pada minit ke-16.

Lee Tuck menjaringkan gol kemenangan buat Terengganu, kurang 10 minit sebelum tamat perlawanan.

Terengganu menamatkan musim di tangga ke-3 dengan mengumpul 19 mata, di hadapan Perak yang mengumpul 18 mata dan Selangor dengan 17 mata.