Liga Super Malaysia Berita

FAM tolak permohonan FA Thailand, tapi FIFA benarkan Sumareh pindah

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya menolak permohonan daripada Persatuan Bolasepak Thailand bagi mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) untuk melengkapkan penyertaan Mohamadou Sumareh ke jelab Thailand, Police Tero FC.

Namun beliau berkata, Sumareh tetap dibenarkan berhijrah setelah FA Thailand mendapatkan bantuan FIFA.

“FAM telah menolak permintaan ITC untuk perpindahan Sumareh,” katanya kepada Astro Arena.

“Tetapi FA Thailand boleh merujuk perkara tersebut dan meminta campur tangan FIFA.

“Justeru, permintaan FA Thailand kepada FIFA telah diluluskan dan Sumareh telah menerima ITC sementara.”

Walaupun sudah berpindah, Stuart menjelaskan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tetap boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Sumareh.

“Mengikut artikel 22, Pahang masih boleh mengambil ke atas pemain itu, begitu juga dengan pemain jika berlaku pelanggaran kontrak.

“Dalam kes ini, walaupun ITC dapat dilaksana tetapi daripada sudut perundangan, Pahang masih boleh mengambil tindakan.

“Proses itu tidak akan menghentikan perpindahan tersebut, tetapi apa jua keputusan daripada FAM atau FIFA, ia dilihat kepada hukuman seperti denda dan penggantungan.

“Terlalu awal untuk mengulas isu ini kerana kes ini pun belum sampai ke FIFA dan kami sendiri belum mendapat penjelasan daripada kedua-dua pihak.”