Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memuji tindakan para pemain Kedah yang meminta bantuan PFAM untuk menggesa pengurusan pasukan menyelesaikan tunggakan gaji dengan segera.
Aduan dibuat kepada PFAM setelah pengurusan pasukan tidak memaklumkan mengenai sebarang perkembangan terbaru mengenai tunggakan, meskipun sudah lebih sebulan diambil alih oleh pimpinan baharu, Sanusi Md Nor.
PFAM kemudian berhubung dengan pengurusan Kedah, sebelum mereka akhirnya membuat bayaran gaji pertama kali bagi bulan Julai.
Sanusi turut memberi jaminan bahawa semua tunggakan gaji akan diselesaikan pada musim ini.
“Sehingga ke hari ini, isu tunggakan gaji Kedah belum sampai menjadi kes FAM,” kata Stuart.
“Sebaliknya, saya nampak PFAM dan pengurusan Kedah berhubung antara satu sama lain melalui surat-menyurat dan menyelesaikan isu sesama mereka.
“Ia satu pergerakan positif apabila pemain bersuara melalui PFAM.”