Situasi Kuching FA berada dalam keadaan terkawal apabila lima pemainnya disahkan negatif COVID-19 dalam ujian saringan kedua baru-baru ini.
Ini selepas seorang pemain disahkan positif COVID-19 yang berpunca dari Kluster Sentosa, sekaligus berisiko menjangkiti rakan sepasukannya.
CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata MFL memantau keadaan Kuching FA sehinggalah pasukan itu bebas sepenuhnya dari wabak COVID-19, sebelum dibenarkan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
“Buat masa ini keputusan untuk kelima-lima pemain sudah negatif ketika diambil di hospital tempoh hari dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching, Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
“Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari.
“Bagi pemain dan pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk Ujian Calitan (Swab Test) yang pertama dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan di mana kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini.”
MFL turut mengesahkan seorang pemain Kedah FA didapati bebas dari COVID-19 dan telah dicaj keluar dari hospital pada 31 Julai lalu.
Pada masa sama, Ghani mengingatkan kepada kesemua pasukan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh MFL.
“Nasihat saya adalah kesemua pasukan harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MFL ketika menjalani sesi latihan atau bermain sukan kontak fizikal.
“Tidak dilupakan juga SOP KKM dengan mengamalkan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di mana kita semua tidak boleh alpa atau leka kerana pemain serta pegawai sekarang adalah ‘frontliner’ untuk Liga Malaysia dan bersama kita melawan COVID-19.”