Liga Super Malaysia Berita

MFL ambil tindakan undang-undang terhadap iflix

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas penyiar rasmi Liga Malaysia, iflix atas tuduhan perlanggaran kontrak.

Pada 2018, MFL menandatangani kontrak 10 tahun bersama iflix yang akan menyiarkan siaran langsung Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia secara percuma di portal rasmi iflix.

Bagaimanapun, MFL mendakwa iflix melanggar kontrak pada musim 2018 dan 2019.

“Kita mengambil tindakan undang-undang terhadap iflix,” kata Hamidin kepada NST.

“Mereka tidak menghormati kontrak dengan MFL pada pertengahan musim 2018 dan keseluruhan musim 2019.

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan perincian lebih lanjut kerana ia sudah menjadi kes mahkamah.”

Ini merupakan kali ketiga MFL menghadapi masalah dengan penyiar rasmi.

Pada 2016, FAM menandatangani kontrak selama 15 tahun bernilai RM1.26 bilion dengan MP & Silva, menyebabkan tertubuhnya MFL yang ketika itu dikenali sebagai FMLLP.

Namun, ia berakhir setahun kemudian apabila Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku presiden FAM ketika itu mendedahkan pihaknya terpaksa membayar pampasan bernilai RM25 juta.

Selain iflix, MFL turut menyaman Telekom Malaysia (TM) dengan nilai RM400 juta kerana melanggar kontrak pada bulan Mac 2019, namun bertindak menarik balik saman itu pada bulan Oktober tahun sama, selepas mencapai persetujuan berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia.

Musim 2020 menyaksikan MFL menandatangani perjanjian bersama TM selama tiga tahun.

Ia meliputi hak penyiaran eksklusif, mudah alih dan siaran langsung perlawanan secara atas talian untuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi Unifi TV.