Pemain pertahanan Pahang, Khalil Khamis dilaporkan masih terkandas di negara kelahirannya Lebanon.
Ini selepas Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mengakui pemain itu masih belum boleh kembali ke Malaysia kerana berlaku peningkatan kes COVID-19 di negaranya.
“Pada masa sama, kerajaan Lebanon masih tidak membenarkan warganegaranya untuk keluar dari negaranya dalam usaha membendung penularan wabak pandemik itu,” katanya kepada Harian Metro.
“Setakat ini, kita tetap memantau perkembangan Khalil dan memastikan dia tetap berlatih untuk mengekalkan tahap kecergasan sebaik dibenarkan kembali ke negara ini.”
Bagaimanapun, seorang lagi pemain import Pahang, Adam Reed tidak berdepan masalah untuk mendapat kebenaran dari negara asalnya Filipina.
“Kita harapkan bukan sahaja Reed akan kembali bersama pasukan secepat mungkin, malah Khalil juga dapat bersama sebelum saingan Liga Malaysia bermula nanti.
“Diharapkan mereka berdua berada pada prestasi terbaik terutama mengekalkan tahap kesihatan.”
Pahang memulakan latihan pertama pada 6 Julai tanpa kehadiran Khalil dan Reed.
Tiga lagi pemain import Pahang musim ini Dickson Nwakaeme, Herold Goulon dan Ivan Carlos berada di negeri itu sepanjang tempoh penangguhan liga.