Liga Super Malaysia Berita

Syazwan Zainon: Saya kagum dengan Fakri Saarani

Syazwan Zainon mengakui Fakri Saarani antara pemain yang digemari malah melabelkan dia selaku pemain serba boleh kerana mampu beraksi di banyak posisi.

Walaupun pemain sayap Selangor itu tidak nafikan ramai peminat bola sepak kurang menggemari corak permainan Fakri namun Syazwan ada alasan tersendiri meletakkan bekas pemain kebangsaan ini di dalam pilihan Best XI.

“ Ramai tidak nampak apa yang ada pada Fakri, sebenarnya jika ikuti perjalanan kariernya, dia lebih cepat naik daripada saya walaupun kami bersekolah sama di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“ Ketika di puncak prestasi, saya kagum melihat kesungguhannya dalam latihan serta permainan sebenar malah gayanya cukup keras malah sentiasa membantu rakan-rakan yang lain sehingga beri kesukaran kepada pemain lawan.

“ Walaupun sentiasa mendapat kritikan pedas daripada peminat jika dia ada buat kesilapan, Fakri tidak pernah berdendam atau marah kepada peminat dan sikap ini juga sesuatu yang positif yang pada dirinya.

“Biarpun dia kini tidak lagi aktif bermain, saya memilih Fakri atas kecemerlangannya semasa di puncak prestasi malah jangan lupa dia dulu sentiasa mendapat panggilan skuad kebangsaan serta skuad bawah umur, ” katanya.

Selain Fakri, Syazwan menganggap kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar merupakan seorang pemain berkarisma di atas padang serta tahu cara terbaik meniupkan api perjuangan kepada setiap pemain.

Perkara ini dapat dilihat ketika sama-sama bermain di Kedah dari musim 2013 sehingga 2018.

Bukan sahaja punyai kualiti semulajadi sebagai ketua pasukan malah Baddrol ada banyak ciri teknikal yang tidak banyak ada kepada pemain lain terutama pada teknik rembatan serta hantaran kepada rakan sepasukan.

“ Baddrol sentiasa menjadi tulang belakang pasukan dengan sentiasa meniupkan kata-kata yang luar biasa tiap kali beraksi dan sekiranya jika kami ketinggalan, dia tahu cara membakar semangat pemain untuk bangkit.

“ Dia juga tidak kedekut ilmu kepada pemain-pemain muda dan tiap kali kami bermain, saya tertarik melihat kualiti yang ada pada Baddrol kerana dia boleh memberikan kejutan kepada pihak lawan dalam situasi yang tidak diduga.

“ Pertahanan lawan selalu keliru dengan cara Baddrol kerana ada kalanya dia seperti melakukan hantaran tetapi sebaliknya terus melakukan rembatan yang mampu memberikan jaringan dan dia sentiasa menghadirkan kejutan di atas padang dengan hantaran-hantaran yang tidak diduga.

“ Bagi saya Baddrol ada karakter berbeza ketika di luar dan dalam padang yang menjadikan saya mahu meletakkan dia antara salah satu dalam pilihan Best XI sepanjang saya bermain di Liga Malaysia, ” katanya.

Menerusi formasi 4-1-4-1, Syazwan yang lebih mesra dipanggil nama jolokan Wan Karpet, memilih Farizal Marlias selaku penjaga gol diikuti empat pemain pertahanan iaitu Fitri Omar, Fauzi Nan, Khairunnisam Sahabudin dan Rizal Ghazali.

Di bahagian tengah, Fauzi Shaari ditugaskan untuk aspek bertahan sementara Sandro da Silva, Amri Yahyah, Baddrol dan Ahmad Fakri Saarani membantu jentera serangan manakala rakan sepasukannya di Selangor, Khyril Muhymeen, bertindak selaku penyerang tunggal.