Luar Negara Berita

KV Kortrijk dapatkan kebenaran khas untuk Luqman Hakim

Kelab Belgium, KV Kortrijk akan membuat permohonan rasmi dengan kerajaan Malaysia bagi mendapatkan kebenaran untuk Luqman Hakim Shamsudin ke luar negara.

Ini memandangkan kerajaan masih belum membenarkan penerbangan antarabangsa, dengan hanya kes-kes tertentu yang akan diberikan pelepasan berikutan bimbang terhadap risiko jangkitan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, jurucakap KV Kortrijk yakin Luqman akan diberikan kebenaran memandangkan perpindahan pemain berusia 18 tahun itu merupakan satu perkara yang istimewa.

“Kita akan memohon secara rasmi kepada KBS untuk mendapatkan kebenaran daripada kerajaan,” katanya kepada Harian Metro.

“Permohonan Luqman ini boleh dianggap istimewa kerana dia akan membawa imej Malaysia dan jenama negara ini ke luar negara.

“Kita juga akan berhubung rapat dengan kerajaan Belgium untuk membenarkan Luqman ke sana. Apa yang penting, semua SOP perlu dipatuhi oleh Luqman dan kita akan pastikan ia diikuti sebaiknya.”

Luqman sudah hampir pasti berhijrah ke Eropah selepas Selangor mencapai persetujuan dengan KV Kortrijk untuk melepaskan pemain itu, dan akan ke Belgium setelah segala dokumentasi diproses dan diluluskan,

FAM bagaimanapun menasihatkan setiap pemain bola sepak mahupun pasukan yang berhasrat untuk ke luar negara sama ada mengikuti latihan atau menyertai kejohanan supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak kerajaan.