Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Liga Malaysia musim 2020 boleh mula pertengahan bulan Ogos

Jurulatih Selangor, B Sathiananthan mencadangkan tempoh pertengahan bulan Ogos merupakan waktu paling terbaik untuk Liga Malaysia musim 2020 disambung semula.

Ini selepas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri memberi kebenaran untuk FAM dan MFL membuat permohonan untuk latihan fasa 2 dan juga memohon untuk memulakan saingan Liga Malaysia lebih awal.

“Kalau liga boleh bermula 15 Ogos, pasukan ada tempoh sekitar enam ke tujuh minggu untuk memulakan latihan. Jadi tempoh ini sudah mencukupi untuk pasukan melakukan persediaan sebelum kembali beraksi,” katanya kepada Berita Harian.

“Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan risiko kepada pemain kerana penyusunan jadual pasti lebih baik berbanding aksi pada September seperti yang dirancang sebelum ini.

“Cuma lebih penting ketika ini adalah bilakah kita boleh mengadakan latihan dengan sentuhan kerana kita perlu latihan sebegini dan aksi persahabatan sebelum memulakan aksi kompetitif.”

Malah, Sathia juga berharap penyokong dibenarkan hadir dan menonton di stadium.

“Saya pasti kerajaan boleh beri kelonggaran kepada kita semua untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium sebaik liga kita bermula kerana kehadiran mereka cukup penting buat pemain.”