Liga Super Malaysia Berita

FAM benarkan pemain sertai tiga pasukan berbeza dalam satu musim

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam mengesahkan setiap pemain Liga Malaysia mempunyai peluang untuk menyertai tiga pasukan berbeza dalam satu musim, berbanding dua pasukan yang dibenarkan.

Kebenaran itu dibuat berdasarkan keputusan FIFA bagi memberi peluang kepada pemain yang menghadapi masalah kewangan, tunggakan gaji atau dilepaskan dari pasukannya kerana wabak COVID-19.

Stuart berkata FAM akan turut mengguna pakai keputusan itu, namun akan mengkaji terlebih dahulu keadaan Liga Malaysia.

“Antara situasi yang mungkin menyebabkan pemain bermain tiga kelab sebagai contoh pemain Ali bermain dengan pasukan A sebelum dipinjamkan ke pasukan B namun akibat pandemik Covid-19, dia dijual pula kepada pasukan C,” katanya kepada Arena Metro.

“Sekiranya keputusan itu dikuatkuasakan, kita harus mengikutinya namun perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum meneruskannya.”