Pasukan Kelantan akan terus bersaing dalam Liga Perdana musim ini meskipun berdepan dengan masalah kewangan, kata Setiausaha Agung Kelantan FA, Husin Deraman.
Katanya, pasukan Kelantan menghormati keputusan MFL untuk meneruskan saingan liga, walaupun berpandangan musim ini patut dibatalkan.
“Apa sahaja keputusan FAM dan MFL, kita perlu akur,” katanya kepada BH Sukan.
“Kalau mereka suruh kita main, kita akan main seperti biasa dan begitu juga kalau ia dibatalkan.
“Kita akan teruskan juga saingan walaupun kita tidak begitu gembira jika terpaksa beraksi tanpa penyokong selepas ini. Semua pun tahu bagaimana sokongan penyokong Kelantan kepada pasukan setiap kali menyaksikan perlawanan.
“Bukan setakat tidak dapat menjana pendapatan dengan kutipan tiket tetapi turut merisaukan saya kalau pemain bermain tanpa penyokong mereka.
Apapun, dalam tempoh empat bulan ini, kita optimis dapat terus hidup dan kita akan berikhtiar sehabis baik untuk penuhi tanggungjawab kita.”