Liga Super Malaysia Berita

Pengangguran besar-besaran akan berlaku jika Liga Malaysia dibatalkan

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul meminta semua pihak melihat dari sudut gambaran yang lebih besar jika Liga Malaysia musim ini dibatalkan.

Katanya, bukan sahaja 1,500 pemain bola sepak di Malaysia bakal menjadi penganggur, malah barisan pegawai, jurulatih dan kakitangan bergaji rendah turut akan kehilangan kerja.

Sedangkan, banyak lagi pendekatan lain yang boleh diambil seperti bermain tanpa penonton, menjalankan pemeriksaan ketat ketika perlawanan, serta mematuhi penjarakan sosial.

“Senang sahaja kalau nak berhenti liga, tapi lepas itu pemain nak buat apa? Pemain akan hilang pekerjaan terus lebih kurang beribu juga termasuk pegawai seperti jurulatih, fisioterapi dan kitman pasukan,” katanya kepada Arena Metro.

“Maknanya satu kumpulan yang besar akan terjejas nanti. Sekarang pun kerajaan Malaysia dah beri keizinan kepada beberapa sektor untuk beroperasi semula, jadi saya kira bola sepak pun boleh.

“Tapi itu terpulang kepada FAM untuk berbincang dengan kerajaan Malaysia. Mungkin langkah keselamatan ketat perlu diambil dan beri jaminan supaya perlawanan diadakan tanpa penyokong.

“Jerman pun teruk kena COVID-19, tapi keadaan di sana sudah mula terkawal. Saya difahamkan, tak lama lagi liga mereka akan bersambung dengan syarat tak boleh ada penyokong.

“Liga Jerman buat begitu sebab mereka nak pastikan industri terus kekal di mana pemain boleh meneruskan kerjaya manakala duit akan diperoleh melalui wang penyiaran dan penaja.”