Barisan pemain Melaka United bersetuju dengan pemotongan gaji bermula bulan April disebabkan masalah kewangan gara-gara wabak COVID-19, meskipun sudah dua bulan tidak menerima gaji.
Kapten pasukan, Safiq Rahim menjelaskan persetujuan itu dibuat dengan syarat pihak pengurusan melunaskan tunggakan gaji bulan Februari dan Mac.
“Kami hanya bersetuju potong gaji untuk bulan ini,” katanya kepada NST.
“Persetujuan tidak membabitkan tunggakan gaji dua bulan sebelum ini. Itu pengurusan kena bayar penuh.
“Cuma jumlah peratusan potongan gaji belum ditentukan lagi buat masa ini.”
Timbalan Presiden Melaka United, Datuk Yusoff Mahadi berkata persetujuan itu dibuat bersama 11 orang pemain dan jurulatih pasukan, Zainal Abidin Hassan.
“Kita akan bertemu dengan semua barisan pemain untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu potongan gaji. Tapi secara dasarnya mereka sudah bersetuju dengan soal tunggakan dan potongan gaji.”
Tunggakan gaji pemain selama dua bulan dijangka dilunaskan pada minggu hadapan.
Melaka United dipotong tiga mata bulan lepas selepas gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh yang ditetapkan.