Liga Super Malaysia Berita

Felda United berjaya kumpul lebih RM100,000 untuk tabung bantuan COVID-19

Felda United berjaya mengumpulkan sebanyak RM118,569 untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan di tengah wabak COVID-19.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan sumbangan bukan sahaja untuk disalurkan kepada petugas barisan hadapan, malah individu yang terkesan dengan wabak terbabit khususnya dalam kalangan warga Felda.

“Sumbangan ini akan diserahkan kepada pengurusan dan pihak yang terkesan dengan wabak COVID-19 terutama warga Felda dalam masa terdekat,” katanya kepada Arena Metro.

“Sebagai permulaan, Felda United akan menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM2,000 kepada 20 keluarga di Felda Hutan Percha, Melaka yang ditimpa musibah ribut, baru-baru ini.

“Dengan sumbangan ini, ia diharap meringankan beban selepas rumah mereka mengalami kerosakan akibat kejadian terbabit.”

Pada 25 Mac lepas, Felda United mengambil inisiatif melancarkan kutipan sumbangan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan FELDA.

Antaranya Koperasi Permodalan FELDA (KPF), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dan Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF).