Liga Super Malaysia Berita

Safawi Rasid beri sumbangan di kampung kelahirannya ketika wabak COVID-19

Penyerang Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid mengakui merasa bertanggungjawab untuk memberi sumbangan di kampung kelahirannya, Dungun, Terengganu terutamanya kepada keluarga yang berada dalam kesusahan ketika wabak COVID-19.

“Saya memahami keadaan susah mereka terutamana yang tinggal di kampung,” katanya kepada MStar.

“Oleh itu, saya ada juga mengambil inisiatif sendiri membantu keluarga yang susah di kampung saya dengan memberi sumbangan stok makanan seperti beras, gula, minyak dan lain-lain bagi meringankan beban mereka.

“Bantu mengikut kemampuan. Saya harap mereka semua dapat meneruskan hidup dengan baik dalam tempoh ini.”

Safawi juga berharap perintah kawalan pergerakan dapat menamatkan wabak koronavirus sekaligus kembali beraksi.

“Kita perlu pikul tanggungjawab ini bersama dengan mengikut perintah untuk terus berada di rumah. Bagi saya hanya dengan ini sahaja rantaian wabak ini dapat dikurangkan.

“Saya juga berharap, semua rakan-rakan dalam arena bola sepak agar turut menjaga kesihatan dan terus berada di rumah masing-masing.”