Liga Super Malaysia Berita

Baru sehari tukar pengurusan, Melaka United kena potong tiga mata

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan memotong tiga mata kepada Melaka serta merta bagi saingan CIMB Liga Super 2020 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara ‘teleconferencing’ bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain, hari ini.

Pada mesyuarat tersebut, empat kes telah dibincangkan iaitu membabitkan pasukan Melaka, PDRM, Kelantan dan Sarawak.

Berhubung kes membabitkan Melaka, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020 telah berjaya membuat penyelesaian lebih separuh daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai serta membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

Namun selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki yang masih tertunggak dibuat oleh pasukan Melaka seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM iaitu ia perlu dijelaskan pada penghujung Februari 2020.

Oleh itu, Melaka telah didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka sendiri, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata ini.

Kegagalan Melaka melunaskan baki yang masih tertunggak itu juga tidak boleh dikaitkan alasannya dengan isu pertukaran kerajaan di negeri berkenaan atau pun Perintah Kawalan Pergerakan kerana COVID-19 ketika ini kerana tarikh akhir pembayaran baki yang masih tertunggak itu adalah sebelum terjadinya kedua-dua perkara berkenaan.

FAM akan memaklumkan segera kepada badan pengendali Liga Super iaitu Malaysian Football League (MFL) bagi pelaksanaan pemotongan tiga mata berkenaan.

FAM juga memberikan tempoh kira-kira enam minggu iaitu sehingga 30 April 2020 kepada pasukan Melaka untuk menyelesaikan juga baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai tersebut. Jika gagal, mereka berdepan tambahan pemotongan sebanyak enam lagi mata.