Liga Super Malaysia Berita

Piala Sumbangsih 2020: Penyokong Kedah boleh dapat 500 tiket sahaja

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan mendedahkan bahawa hanya 500 tiket yang boleh dijual kepada penyokong Kedah untuk perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, minggu depan.

Katanya, ini kerana KFA membuat permintaan bagi mendapatkan 1,000 keping tiket untuk dijual kepada penyokong Kedah.

Namun, MFL memberikan sebab mengapa mereka tidak boleh memberikan 1,000 keping tiket.

“MFL ada manual yang ditetapkan berhubung pembahagian tiket untuk penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat,” katanya kepada BH Sukan.

“Ada tiga kategori yang ditetapkan. Stadium yang bawah kapasiti penonton 20,000, tuan rumah boleh memberi tiket kepada pasukan pelawat hanya 300 tiket sahaja.

“Kedua, stadium yang berkapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksima 500 tiket dan kapasiti stadium baharu JDT adalah 35,000, jadi KFA mungkin akan dapat 500 tiket sahaja.

“Atas kapasiti tempat duduk penyokong 40,000 hingga 80,000, maka tuan rumah boleh beri tiket kepada pasukan pelawat sejumlah 1,000 tiket dan jika KFA inginkan 1,000 tiket ia bergantung kepada budi bicara kelab JDT dan ketetapan manual di buat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.”