Jurulatih Selangor, B. Sathiananthan gembira barisan pertahanannya kini jauh lebih mantap berbanding musim lepas.
Katanya, musim lalu Selangor mencatatkan jumlah bolos paling banyak antara lima pasukan teratas Liga Super dengan dibolosi 35 gol, walaupun berada di tangga ketiga.
“Ya, pertahanan kita nampak semakin baik dan saya lihat ia suatu petanda menjelang saingan liga musim ini,” katanya kepada Arena Metro.
“Musim lalu salah satu kelemahan kita di bahagian pertahanan dan kali ini pemain dah semakin serasi. Kita dapat lihat ketika Asia Challenge 2020 kita tak mudah dibolosi biarpun menentang lawan kuat dari Thailand dan Indonesia.
“Malah, gandingan Taylor Regan dan pemain lain makin kukuh dan saya harap masalah pertahanan seperti musim lalu dapat diatasi.”
Selangor membawa dua pemain pertahanan kacukan pada musim ini iaitu Nicholas Swirad dan Rodney Celvin Akvensiwie.