Liga Super Malaysia Berita

Kedah perkenal jersi baharu 2020

Kedah akhirnya memperkenalkan dua jersi baharu bagi musim 2020.

Bagi jersi tuan rumah, Kedah menggunakan warna serba hijau tua, manakala jersi away menggunakan warna merah bercorakkan seperti kilat sabung-menyabung.

Ada juga yang mengatakan ia seolah-olah seperti tembikai.

Namun, Pengurus Besar Prestige Sports Sdn Bhd Norita Md Noor corak jersi merah Kedah itu sebenarnya melambangkan kepak helang merah, simbolik semangat yang ada pada pasukan Kedah.

“Manakala corak struktur pada jersi tuan rumah pula melambangkan kejayaan dimana kita mahu menuju kejayaan dan jersi ketiga yang diperkenalkan sebelum ini lebih kepada corak yang istimewa atau ‘fancy’,” katanya kepada Arena Metro.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sdn Bhd Vach Pillutla berharap jenama jersi Kedah dapat diperluas lagi selepas memperuntukkan perbelanjaan besar terhadap rekaan jersi tersebut.

“Kami mempromosi jersi ini di media sosial, pengiklanan luaran dan melalui cawangan-cawangan kami diseluruh negara dengan lebih berkesan kepada peminat.”

Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris berkata perkenalan dua jersi baharu itu adalah sebagai kesinambungan kepada jersi ketiga Kedah yang mendapat sambutan luar biasa.

“Sebelum ini kita melancarkan jersi ketiga dan ia memang habis dalam masa yang singkat, sebab coraknya yang berwarna serta lain dari yang lain.

“Ini menunjukkan peningkatan sokongan serta sambutan penyokong terhadap skuad Lang Merah meningkat dengan begitu drastik sekali pada musim ini.

“Kedaj juga sentiasa bekerja bersungguh-sungguh untuk menaikkan lagi imej pengurusan, jurulatih dan pemain musim ini, seperti mengekalkan kejayaan yang dicapai oleh skuad Kedah diperingkat Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super mahupun di peringkat Asia.”