Selepas lama menanti, Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya mengumumkan Liridon Krasniqi sebagai pemain baharu bagi menghadapi cabaran Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim cukup tertarik dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Liridon dan tidak percaya dengan khabar angin yang tersebar mengenainya.
“Sudah tentu saya tidak pernah tengok dia bekerja keras seperti ini. Buat masa ini jurulatih serta jurulatih kecergasan dan pengurus pasukan berpuas hati dengan tahap kecergasan Liridon.
“Kami sebenarnya agak terkejut kerana kami dengar khabar angin dia merupakan seorang pemain yang bermasalah. Namun selepas saya tengok kerja keras, dedikasi dan disiplinnya, dia merupakan seorang pemain yang profesional.”
Spekulasi perpindahan Liridon ke JDT diperkatakan selepas dia dilihat menjalani latihan bersama pasukan itu.
Liridon merupakan bekas pemain Kedah selama tiga musim sebelum berhijrah ke Melaka United pada tahun ini.
Pada masa sama, TMJ menganggap Liridon layak diberikan peluang untuk beraksi di JDT, walaupun pemain itu terpaksa bersaing dengan beberapa pemain sedia ada.
“Kami hargai dedikasinya bersama pasukan dan kami akan sentiasa memantau prestasinya. Dia merupakan seorang pemain hebat dan lebih bermotivasi apabila menyertai pasukan seperti JDT ini.
“Dia pun sedar dia bukan ‘superstar’ dan dia kena berusaha untuk mendapatkan tempat dalam pasukan seperti pemain lain.”