Sejak dikendalikan pentadbiran baharu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bukan lagi sekadar menyasarkan Piala Malaysia, sebaliknya mereka mahu beraksi di peringkat Asia, Liga Juara-juara Asia.
Namun satu-satunya cara untuk beraksi di peringkat Asia adalah dengan memenangi Piala FA dan Liga Super.
Peluang untuk memenangi Piala FA adalah sama rata, tetapi di Liga Super mereka perlu bersaing dengan JDT, yang sudah enam kali berturut-turut menjadi juara.
Selangor mungkin tidak memiliki sumber kewangan sebesar JDT, tetapi mereka tetap giat menandatangani pemain-pemain berkualiti.
Musim 2020 boleh dikatakan kali pertama Selangor dilihat begitu serius untuk menjuarai Liga Super, apabila mereka menandatangani Brendan Gan dan Safuwan Baharudin.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata Red Giants telah mengatur beberapa strategi dianggap ‘strategik’ bagi mengatasi kelemahan untuk menghadapi saingan tahun depan.
“Tahun ini kita ‘signed’ pemain yang strategik untuk mengatasi aspek kelemahan pasukan. Kita sahut cabaran penyokong.
“Dengan kekuatan pasukan sedia ada ditambah enam pemain baharu yang mempunyai kehebatan dan keupayaan tersendiri, kita lihat skuad Selangor kini lebih lengkap,” katanya kepada Bernama.
Selangor membuktikan merek serius menerusi penganjuran kejohanan Asia Challenge 2020 bakal diadakan di Stadium Shah Alam pada 18 dan 19 Jan melibatkan penyertaan tiga pasukan negara Asia Tenggara iaitu Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC dari Vietnam dan Persib Bandung dari Indonesia.
“Kejohanan selama dua hari itu bertujuan untuk memberi ‘isyarat’ dan aspirasi bahawa kita sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Liga-M dan menjadi antara kelab bola sepak terunggul di Asia suatu hari nanti.
“Kita bawa pasukan terbaik dari negara jiran untuk bersaing di sini dengan kita. Untuk edisi pertama ini, kita anjurkan perlawanan dengan pasukan dari negara Asean. Selepas ini, mungkin negara Asia lain pula.”
Jurulatih B. Sathianathan pula menganggap pelaburan yang dilakukan FAS adalah bersesuaian dengan sasaran untuk beraksi di Liga Juara-juara Asia.
“Sebagai jurulatih, saya sahut sasaran itu. Ia dilihat realistik di bawah pengurusan yang baharu. Daripada pengalaman saya pada musim lepas, tiada pasukan yang dikatakan lemah. Prestasi sama dan saya rasa sasaran itu tepat pada masanya.”
Mengadunkan pemain lama dan baharu dalam satu pasukan bukan mudah, ditambah dengan tekanan untuk layak ke peringkat Asia.
Ia mungkin akan mengambil masa, sama seperti JDT, tetapi inilah cabaran buat mereka sama ada mereka berupaya untuk menjadi sebuah pasukan bertaraf Asia.