Pemain muda Barcelona, Ansu Fati berjaya mencatat rekod baru dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas menjadi pemain termuda dalam sejarah menjaringkan gol.
Fati yang kini berusia 17 tahun dan 40 hari menjadi penjaring termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah apabila menyumbat gol kemenangan buat Barcelona ketika bertemu pendahulu Serie A Itali, Inter Milan.
Skuad Ernesto Valverde turun ke San Siro tanpa kelibat bintang Argentina, Lionel Messi. Valverde juga mengambil keputusan untuk menurunkan pemain-pemain muda dalam perlawanan terssebut serta merehatkan beberapa tonggak utama pasukan memandangkan pasukannya telah pun melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Usaha Inter Milan untuk bangkit selepas Romelu Lukaku berjaya menyamakan kedudukan dan memadam gol awal Barcelona yang disumbangkan oleh Carles Perez gagal selepas Ansu Fati yang hanya memerlukan seminit untuk mempamerkan kualitinya.
Rekod terdahulu dipegang oleh Peter Ofori-Quaye yang ketika itu menyumbang gol buat Olympiacos pada usia 17 tahun dan 195 hari.
Kekalahan yang menimpa Inter Milan juga bermakna skuad bimbingan Antonio Conte itu akan meneruskan saingan dalam Liga Eropah selepas ini.