Selepas tersebar pelbagai khabar angin, Safuwan Baharudin akhirnya sah menyertai Selangor bagi musim 2020.
Pemain berusia 28 tahun menjadi pemain Singapura pertama yang menyertai Selangor selepas kali terakhir pemain Singapura Razali Alias menyarung jersi Selangor pada tahun 1992.
Safuwan menyertai Selangor setelah dilepaskan oleh Pahang yang membuat keputusan untuk tidak menawarkan kontrak baharu.
Safuwan merupakan pemain yang sentiasa digemari ramai kerana kebolehannya untuk beraksi di pelbagai posisi dan ini bakal memberi nafas baharu buat Red Giants musim depan.
Sepanjang kariernya, Safuwan memenangi Liga Super dan Piala FA bersama LionsXII sebelum memenangi satu lagi Piala FA bersama Pahang pada 2018.
Safuwan juga pernah beraksi di Liga Australia bersama Melbourne City secara pinjaman sebelum berpindah ke PDRM setahun kemudian.
Mungkin permusuhan antara Selangor dan Singapura menghalang pemain untuk menyertai pasukan satu sama lain.
Tetapi sejak ketiadaan Singapura, peminat Selangor sudah boleh menerima kehadiran pemain yang berasal dari Singapura.