Malaysia Berita

Sukan SEA 2019: Hadi Fayyadh enggan pandang rendah Kemboja

Penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak enggan memandang rendah kemampuan pasukan Kemboja dalam pertemuan penting dalam saingan peringkat kumpulan A Sukan SEA 2019 hari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu beranggapan, kekalahan mengejut 0-1 skuad muda negara di tangan Kemboja pada saingan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Februari lalu, seharusnya dijadikan pengajaran.

Bagaimanapun, pemain kelab Jepun, Fagiano Okayama itu percaya rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menebus kekalahan itu hari ini, terutamanya selepas menewaskan Timor-Leste 4-0 pada Isnin lalu.

“Kekalahan kepada Kemboja sebelum ini tidak menjejaskan semangat pasukan. Saya ambil ia sebagai suntikan semangat untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik.

 

“Kita tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan kerana setiap pasukan ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Saya harap semua dapat berikan yang terbaik,” katanya.

Skuad Sukan SEA mempunyai satu peluang sahaja iaitu menewaskan Kemboja hari ini bagi melayakkan diri ke separuh akhir selepas Myanmar layak ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan A.

Dalam pada itu, tahap keyakinan Hadi semakin meningkat terutamanya selepas meledak dua gol ketika menewaskan Timor-Leste, gol ketiga peribadinya pada temasya Sukan SEA kali ini selepas menjaringkan gol ketika seri 1-1 dengan Myanmar dalam aksi pembukaan, minggu lalu.

“Syukur saya dapat menjaringkan dua gol. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua jurulatih dan pemain kerana memberi komitmen 100-200 peratus.

“Ini keputusan yang baik buat kita, walaupun sebenarnya kita boleh dapat lebih banyak gol, tapi empat ini pun saya rasa bersyukur. saya harap kita dapat teruskan untuk aksi lawan Kemboja,” katanya.

Malaysia turut berdepan cabaran daripada tuan rumah Filipina yang akan bertemu Timor-Leste, namun menjaringkan lebih tiga gol untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.