Bekas penyerang kebangsaan Sepanyol, David Villa mengumumkan untuk mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak profesional pada umur 37 tahun.
David Villa yang telah mewakili Sepanyol sejak tahun 2005 sehingga 2015 itu kini akan menghabiskan baki lima perlawanan bersama kelab bola sepak di Jepun, Vissel Kobe. Sentuhan emas Villa di hadapan gol seringkali menjadi igauan buat penjaga gawang gol lawan.
Villa pernah berada di puncak ketika beraksi bersama Barcelona dan telah memenangi Liga Juara-Juara Eropah 2010/2011, UEFA Super Cup 2011, dan FIFA Club World Cup 2011. Dia juga merupakan salah seorang tonggak utama ketika Sepanyol menjulang Euro 2008 dan Piala Dunia 2010. Untuk rekod, sejumlah 59 jaringan telah dihasilkan daripada 98 penampilan bersama skuad Sepanyol.
Sepanjang 19 tahun berkhidmat dalam dunia bola sepak, Villa telah beraksi di Amerika Syarikat dan Jepun. Villa pernah mewarnai bola sepak di Amerika Syarikat dengan mewakili New York City bagi empat musim dan berjaya merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai Landon Donovan pada tahun 2016.
Bekas Duta produk Adidas ini berjaya menyumbang 12 gol dalam 26 penampilan bersama Vissel Kobe yang kini berada di tangga kesepuluh Liga J1.