Malaysia Berita

Ngauman Harimau Malaya benam Sang Gajah Perang

Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-1 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe membuat sedikit pertukaran taktikal dengan menggunakan khidmat Syahmi Safari di bahagian bek kanan dan Syamer Kutty di bahagian tengah.

Thailand yang dibimbing Akira Nishino bermula garang dengan memperoleh gol pendahuluan seawal minit keenam melalui satu gerakan cantik dari sebelah kanan yang mudah disudahkan oleh Chanatip Songkrasin. 

Tersentak dengan gol tersebut, skuad Harimau Malaya mula melancarkan satu demi satu serangan ke arah gol pasukan lawan. Malaysia terpaksa menunggu sehingga minit ke-26 apabila Brendan Gan menyamakan kedudukan dengan satu penyudah yang tenang di depan gol hasil hantaran lintang pendek Syamer Kutty.

Anak buah Tan Cheng Hoe terus mengatur serangan melalui percubaan bahaya Safawi Rasid dan Syahmi Safari yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Thailand, Siwarak Tedsungnoen.

Sorakan penyokong pasukan kebangsaan di stadium begitu memberi motivasi kepada para pemain dan hasilnya Mohamadou Sumareh berjaya menghadiahkan gol kedua buat Harimau Malaya menerusi satu sepakan volley hasil hantaran bijak Brendan Gan pada minit ke-56.

Pemain bintang sensasi negara, Safawi Rasid tidak berputus asa untuk terus memberikan tekanan kepada Thailand dengan beberapa percubaan yang berpotensi untuk menambah gol buat Malaysia. Namun, kecemerlangan Siwarak Tedsungnoen mengawal gawang gol Thailand berjaya menafikan kesemua percubaan tersebut.

Malaysia kekal berdisiplin dengan taktikal yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. 

Walaupun Thailand menduduki ranking yang lebih baik iaitu 118, tetapi semangat juang yang dipamerkan pemain-pemain pasukan kebangsaan seharusnya diberi pujian dengan membuktikan apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

Kemenangan keatas Thailand ini memberi tiga mata penuh buat Malaysia yang kini mengumpul enam mata daripada empat perlawanan. Skuad Harimau Malaya akan kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melayan kunjungan Indonesia pada Selasa hadapan bagi aksi seterusnya dalam misi mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri.