Berita

Kompany ucap ‘Selamat Tinggal’

Perlawanan testimoni Vincent Kompany berakhir dengan keputusan seri 2-2 diantara Lagenda Manchester City dan pasukan Bintang Liga Perdana Inggeris.

Pasukan Lagenda Manchester City yang diurus Pep Guardiola bermula garang apabila Martin Petrov menghukum kesilapan Gary Neville dengan menjaringkan gol pembukaan seawal minit pertama permainan. Aksi-aksi bekas pemain Liga Perdana Inggeris sangat menakjubkan serta menggamit nostalgia sepanjang permainan berlangsung.

Penjaga gol tuan rumah, Joe Hart beraksi dengan begitu cemerlang dan berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya yang dihasilkan Ryan Giggs dan Robin van Persie. Namun, pasukan lawan berjaya menembusi gawang gol apabila gerakan cantik Michael Carrick dan Robin van Persie membuka ruang buat Robbie Keane menghasilkan jaringan pada minit ke-30. 

Bekas bintang Arsenal dan Manchester United, Robin van Persie mempamerkan ketajaman penyudahnya apabila menyempurnakan umpanan Tim Cahill ke arah kanan gawang gol. Benjani Mwaruwari menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk hantaran Nigel de Jong.

Perlawanan yang disaksikan lebih kurang 51,000 penonton di Stadium Etihad itu akan terpahat menjadi kenangan manis buat Vincent Kompany yang sudah berkhidmat selama lebih sedekad bersama Manchester City.

Dalam pada itu, Hasil kutipan tiket akan disalurkan kepada organisasi Tackle4MCR yang ditubuhkan oleh Kompany dan Datuk Bandar Manchester, Andy Burnham. Organisasi tersebut akan memberi sumbangan dan membantu golongan gelandangan di bandar Manchester.