Luar Negara Berita

Pep Guardiola jawab tuduhan sombong dan tidak hormat pada penyokong

Dalam salah satu berita yang dikeluarkan oleh agensi berita Xinhua, juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City telah dituduh sombong dan tidak menghormati penyokong ketika aksi pra musim di China.

City adalah salah satu pasukan yang mengambil bahagian di dalam Asia Trophy di China bersama-sama West Ham United dan Wolverhampton Wanderers di Nanjing dan Shanghai.

Pep Guardiola ketika ditanya wartawan mengenai dakwaan tersebut menafikan laporan terbabit ; “Saya tidak bersetuju, ia benar-benar palsu dan saya tidak faham apa yang orang katakan kerana kami mempunyai masa yang luar biasa di Shanghai,” kata Pep Guardiola.

“Kami komited kepada kerjasama yang perlu anda lakukan di sini di China.

“Orang-orang di hotel, semua orang yang meminta kami melakukan sesuatu, kami sudah bersedia untuk berbuat demikian.”

Dalam satu dakwaan terbaru, pasukan kendalian Pep Guardiola dilaporkan enggan beramah mesra dengan peminat tempatan dan organisasi media.

“Mungkin seorang wartawan agak kecewa, saya tidak tahu mengapa,” katanya.

“Bagi kami ia pengalaman baru setiap musim, ia akan membantu di padang.

“Di luar padang, kami menunjukkan [bahawa kami adalah] kelab yang menakjubkan.

“Kami cuba menjadi lebih baik setiap musim.

“Saya bangga dengan apa yang telah kami lakukan, semua jabatan pemasaran dan semua orang yang telah menganjurkan lawatan ini.”