Kumpulan C dilihat sebagai kumpulan maut pada Majlis Undian Piala Malaysia 2019 sebentar tadi.
Pemegang tempat kedua Liga Super, Pahang bakal membuat perhitungan dalam kancah Piala Malaysia musim ini bersama-sama dengan Perak, Sabah dan Pulau Pinang.
Keempat-empat pasukan ini mempunyai rekod yang baik sepanjang musim Liga Malaysia kali ini dengan Pahang berjaya menamatkan kejuaraan Liga Super di belakang JDT dengan 43 kutipan mata.
Skuad Tok Gajah juga berjaya memenangi 12 perlawanan dengan tujuh keputusan seri dan tiga kekalahan sepanjang 22 perlawanan Liga Super.
Manakala bekas juara Piala Malaysia tahun lalu, Perak semestinya mahu turun dengan misi mempertahankan kejuaraan yang telah mereka menangi tahun lalu.
Skuad The Bos Gaurus juga telah membuktikan kemampuan mereka musim ini dengan berjaya layak ke pusingan akhir Piala FA menentang Kedah, Sabtu ini.
Skuad kendalian Mehmet Durakovic gagal mempamerkan taring sebenar pada saingan awal Liga Super apabila lambat ‘panas’ dengan mencatat hampir 9 keputusan seri pada awal saingan Liga Super.
Tetapi setelah mereka menemui rentak, Perak berjaya menamatkan liga di kedudukan pertengahan dan mengenepikan Pahang pada aksi separuh akhir Piala FA akhir Jun lalu.
Pahang pastinya bakal turun dengan misi membalas dendam kepada Perak setelah skuad The Bos Gaurus mengganggu langkah Tok Gajah melayakkan diri ke final Piala FA.
Bagi pasukan Sabah pula, kejayaan memenangi kejuaraan Liga Perdana pastinya bakal menjadi suntikan semangat kepada anak buah Jelius Ating.
Mereka mengatasi cabaran Johor Darul Ta’zim II yang berada di kedudukan kedua liga dan mengutip 43 mata sepanjang 20 perlawanan.
Manakala bagi satu lagi pasukan dari utara tanah air, Pulau Pinang pastinya mahu menebus kedukaan selepas dinafikan layak ke Liga Super musim hadapan apabila dikenakan hukuman potongan mata oleh FIFA.
Medan ini bakal menjadi saksi bagaimana Pulau Pinang mampu mengunakan kekecewaan mereka untuk bangkit mengatasi pasukan-pasukan elit.
Pertembungan keempat-empat pasukan pastinya bakal memberi saingan sengit untuk mara ke pusingan seterusnya, biarpun di atas kertas Perak dan Pahang seolah-olah tidak mempunyai masalah untuk mengenepikan lawan masing-masing.
Walau bagaimanapun, setiap pasukan tidak seharusnya memandang mudah cabaran yang bakal mereka hadapi.