Perak berjaya membenam cabaran Selangor dalam kemenangan 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, sebentar tadi.
Kemenangan ini memberikan tiga mata penuh buat Perak dengan kutipan 30 mata selepas 20 perlawanan.
Biarpun Johor Darul Ta’zim sudah mengesahkan kejuaraan, terdapat empat pasukan yang bersaing bagi merebut tempat tiga terbaik Liga Super dengan Kedah, Selangor dan Melaka United masing-masing mempunyai peluang yang sama.
Pada perlawanan tersebut, jaringan Selangor dibuka melalui Taylor Grant hasil daripada sepakan penjuru yang diumpan oleh bekas pemain Kedah, Sandro pada minit ke 29.
Skuad Mehmet Durakovic terus mengasak ke kubu pelawat dengan beberapa cubaan penting yang gagal disempurnakan dengan baik oleh pemain Perak.
Hasil cubaan demi cubaan, akhirnya Perak menemui jalan keluar dengan gol penyamaan pada minit ke 42 melalui Rainanderson Da Costa Morais setelah keadaan kucar-kacir dihadapan gawang gol selangor.
Selang beberapa minit, pemain sayap kiri Selangor dengan jersi nombor 14 mudah menewaskan pertahanan Perak untuk menjaringkan gol ketiga.
Permainan separuh masa pertama bertambah rancak apabila Perak mendapat penalti sebelum rehat masa pertama dan disempurnakan dengan mudah oleh Leandro untuk menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan seri.
Separuh masa kedua, Perak tampil lebih teratur, terutama di bahagian serangan dengan beberapa cubaan berbisa tetapi gagal menembusi gawang Selangor.
Manakala skuad B Sathianathan kelihatan tenang dalam mengawal perlawanan dan beberapa kali cuba menyerang dari sebelah kiri padang tetapi buntu untuk melepasi Hafizul Hakim.
Gol kemenangan Perak muncul pada minit ke-61 dengan Careca muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol ke tiga melalui serangan pantas.
Tiga mata penuh ini membuka peluang buat skuad Mehmet Durakovic menamatkan musim ini di kelompok terbaik Liga Super selepas permulaan aksi liga yang hambar.
Kegagalan bahagian serangan sebelum ini juga adalah antara punca mengapa Perak gagal menyerlah seperti musim dahulu dan memaksa Mehmet Durakovic membuat pertukaran dengan membawa masuk penyerang baharu pada jendela perpindahan kedua.
Dua perlawanan terakhir di antara Perak dan Kedah bakal menjadi perlawanan tumpuan minggu ini apabila kedua-dua pasukan turut bakal bertemu di pentas akhir Piala FA.
Tambahan daripada itu, Kedah perlu mencatat kemenangan setelah gagal mengutip tiga mata penuh dalam dua perlawanan terakhir manakala Perak mahu meneruskan momentum kemenangan bagi meletakkan pasukan mereka dalam kelompk terbaik Liga Super.