Piala FA Malaysia Berita

Viking Clap bakal gegarkan Stadium Bukit Jalil

Aktiviti ‘Viking Clap’ bakal menghangatkan lagi kemeriahan perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 yang menemukan Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 27 Julai depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, MFL dengan kerjasama Malaysia Book Of Records telah bersedia mencatatkan rekod baharu dalam aktiviti perpaduan sesama penyokong pada malam final Shopee Piala FA 2019 itu.

Jelas Shazli, MFL selaku penganjur perlawanan akhir bagi edisi ke-30 itu mengharapkan aktiviti ‘Viking Clap’ itu dapat menyemarakkan lagi suasana final Shopee Piala FA 2019 buat peminat-peminat bola sepak khususnya penyokong Kedah dan Perak .

“Aktiviti ‘Viking Clap’ adalah satu pendekatan baharu untuk menyemai perpaduan sesama penyokong.

“Selain bertujuan untuk menghangatkan lagi suasana final Shopee Piala FA 2019, Malaysia Book Of Records turut hadir bagi mengesahkan aktiviti tersebut dicatatkan sebagai rekod terbesar untuk ‘Viking Clap’ dalam negara.

“Justeru, MFL cukup teruja menyaksikan satu pendekatan baharu dalam dunia bola sepak tempatan dan berharap kesemua penyokong dapat menjayakan aktiviti ini dengan jayanya,” katanya pada sidang akhbar di SNBJ, hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar berkenaan adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin.

Dalam perkembangan sama, Shazli turut memberi jaminan bahawa padang SNBJ dijangka berada pada tahap terbaik.

Ini kerana Shazli mengesahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberikan jaminan tiada sebarang aktiviti sukan diadakan di venue berkenaan sehingga aksi final Shopee Piala FA 2019.

“Padang tidak digunakan oleh mana-mana aktiviti sukan di venue berkenaan sehingga tarikh final Shopee Piala FA 2019.

“Itulah jaminan yang diberikan oleh PSM dan sebelum ini tradisi final Piala FA melihat persiapan untuk perlawanan akhir kebiasaannya satu atau minggu sebelum perlawanan akhir berlangsung.

“Namun kali ini kita ada persiapan hampir sebulan dan MFL berharap perlawanan akhir ini berjalan dengan lancar seperti apa yang dirancangkan,” ujarnya.

Sementara itu, Shazli turut memberitahu sebanyak 80,000 keping tiket akan dikeluarkan dan diedarkan kepada pasukan serta ejen sah tiket atas talian.

“Sebanyak 30,000 tiket dewasa 750 tiket kanak-kanak berbentuk fizikal masing-masing akan diagihkan kepada Kedah dan Perak.

“Manakala tiket atas talian sebanyak 18,000 dewasa 500 kanak-kanak akan dibuka dan dijual

“Harga tiket bernilai RM50 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dan kaedah penjualan tiket di negeri masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shazli mewakili MFL turut menasihatkan penyokong-penyokong Perak dan Kedah menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.

“Kemudahan parkir juga terhad apabila jangkaan ketibaan sebanyak 200 buah bas masing-masing dari Kedah dan Perak di Stadium Nasional.

“Jadi kepada penyokong yang menggunakan pengangkutan sendiri seperti kereta atau motorsikal, mereka disarankan menggunakan kemudahan awam.

“Ini kerana Prasarana Malaysia Berhad telah memberikan jaminan mereka akan melanjutkan jadual pengangkutan awam sehingga jam 12.30 malam selepas aksi final Shopee Piala FA 2019.

“Jadi bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan awam disarankan parkir kenderaan masing-masing di Terminal Bersepadu Selatan (TBS)
Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights serta Maluri,” ujarnya.