Luar Negara Berita

Coutinho akui musim tidak baik di Barcelona

Pemain tengah Brazil, Philippe Coutinho mengakui sedang cuba bangkit daripada musim yang mendukakan di Barcelona sejak 10 bulan lalu.

Sebelum ini beliau dikritik apabila gagal mempamerkan aksi sebenar setelah membuat perpindahan termahal daripada Liverpool ke Barcelona.

Justeru, beliau mahu bangkit daripada kekecewaan dengan membantu Brazil dalam kejohanan Copa America.

“Jujurnya ia bukan musim yang baik. Ia tidak menjadi seperti yang saya harapkan,” kata pemain 27 tahun itu yang menyertai Barca dari Liverpool pada Januari 2018.

“Tetapi saya harap ia menjadi pengajaran buat saya, supaya saya terus dahagakan kejayaan, dan mempunyai fokus lebih tinggi.”

Beliau juga menyatakan mahu berkerja keras bagi membantu Brazil.

“Di sini bersama pasukan kebangsaan tanggungjawabnya tetap sama: menunjukkan komitmen yang betul untuk diberi kepercayaan.

“Sama ada musim yang baik atau tidak, ia tidak memberi kesan: keazaman untuk menang sentiasa sama, atau mungkin lebih lagi,” katanya.