Jika anda seorang anak muda dengan cita-cita dan impian yang tinggi untuk bermain bola sepak di peringkat antarabangsa, Asean Dream Project mungkin adalah jalan buat anda.
Ia adalah projek bagi para pemain berumur bawah 15 tahun yang dikelolakan oleh salah sebuah kelab J-League, Cerezo Osaka.
Kelab Jepun tersebut sedang mencari lima pemain bawah 15 tahun terbaik dari Malaysia untuk menyertai Osaka pada bulan September ini.
Mereka yang berminat bolehlah mendaftar di www.yakult.com.my. Kemasukan adalah percuma dan mereka yang dipilih akan dipanggil untuk uji bakat di Stadium USIM di Nilai pada 23 Jun.
Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata program itu akan membuka jalan bagi bakat muda tempatan yang dipilih untuk mendapatkan peluang bermain bersama 10 pemain Asean terbaik, dengan lima dari Thailand dan lima dari Myanmar, di Osaka nanti.
“Apabila kami dijemput oleh Cerezo Osaka untuk memastikan Projek Impian Asean berjaya, kami gembira untuk datang sebagai penaja. Kami juga berdoa bahawa mereka yang terlibat dalam program ini akan mencapai potensi mereka untuk menjadi pemain bola sepak profesional pada masa akan datang, “kata Hiroshi
“Misi projek ini selaras dengan visi Yakult Malaysia. Tahun lepas, kami membantu Hadi Fayyadh Abd Razak bermain bersama pasukan divisyen dua J-League, Fagiano Okayama.
“Projek ini akan memberi peluang kepada pemain terpilih untuk bermain di Liga J atau bermain untuk Cerezo Osaka sendiri.”
Pendaftaran dibuka sehingga 10 Jun dan pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui e-mel mengenai cubaan yang akan datang.