Luar Negara Berita

Guardiola akui ketagih dengan kemenangan

Manchester City berjaya mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris apabila mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Brighton dan berjaya mengatasi Liverpool pada hari akhir perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Kelebihan satu mata yang dimiliki City membolehkan mereka menjulang trofi kejuaraan dengan 98 mata keseluruhannya manakala Liverpool pula sekadar berada di kedudukan kedua dengan 97 mata.

“Kemenangan menjadi satu ketagihan dan dalam beberapa hari kami mempunyai Piala FA,” kata Guardiola.

Beliau turut menyifatkan bahawa musim ini adalah antara yang paling sukar pernah beliau hadapi dalam pemburuan takhta liga.

“Kami menang di Sepanyol dan Jerman, tetapi ini adalah yang paling sukar,” kata Guardiola yang memenangi tiga gelaran liga di Barcelona, dan tiga di Bayern Munich.

“Liga ini, pengurus-pengurus terbaik berada di sini, pemain-pemain hebat, terutama persaingan yang kami hadapi musim ini. Ia memperkuatkan apa yang kami capai.

“Kami perlu ucapkan terima kasih kepada Liverpool kerana mereka membantu kami menjadi lebih baik berbanding musim lalu,” katanya.