Kolum Futsal

Bola sepak dan wanita, pandangan YAM Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Sukan bola sepak telah berkembang pesat di dalam negara kita. Ia bukan sahaja dimainkan oleh kaum lelaki, tetapi sekarang ia menjadi sukan utama buat kaum wanita.

Perkembangan ini memberi impak positif kepada sukan bola sepak yang dahulunya di dominasi oleh lelaki.

Ya, mungkin sesetengah wanita bermain bola sepak hanya untuk mengeluarkan peluh dan ada juga yang menjadikan permainan bola sepak sebagai kerjaya mereka di atas padang mahupun di luar padang.

“Begitulah yang kita dapat gambarkan bagaimana bola sepak mula diterima sebagai sukan untuk semua dan bukannya sukan untuk sesetengah pihak sahaja.” Kata YAM Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu pihak Football Tribe menemuramah dan bertanyakan pandangannya tentang bola sepak wanita.

Tengku Puteri Ilisha adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah untuk Pahang Rangers FC dan satu-satunya wanita yang berada di dalam pengurusan Pahang Rangers FC.

Kehadiran seorang sosok wanita mengambarkan bahawa Pahang Rangers FC mengambil sikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk membawa sukan ini ke tempat yang sepatutnya.

“Sebenarnya, saya sudah didedahkan dengan bola sepak sejak kecil lagi. Kerana adik beradik saya dan saudara saya selalu bermain bola.

“Selain daripada itu, ayahanda saya adalah bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Jadi pendedahan tentang bola sepak memang bermula daripada kecil lagi.” Katanya.

Tengku Puteri Ilisha turut menyatakan kenapa beliau meminati sukan ini.

Dari kanan – Yang Hormat Dato’ Setia Pahlawan Yang Mulia Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah Bin Tengku Kamil Ismail (Naib Presiden Pahang Rangers), Yang Amat Mulia Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Board of Director)Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah (Presiden Pahang Rangers), Ash Raman (CEO Football Tribe Malaysia).

“Saya sukakan cabaran. Ia adalah sebahagian daripada personaliti saya.

“Saya sukakan aktiviti yang mencabar fizikal kerana pada suatu hari nanti ia bukannya tentang cabaran sahaja, tetapi tentang kemenangan.” Katanya.

Tengku Puteri Ilisha sedar bahawa bola sepak wanita masih tidak diterima ramai kerana kurangnya publisiti daripada media.

Untuk pengetahuan semua, pasukan futsal wanita Malaysia pernah melayakkan diri ke Kejohanan Dunia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2012 dan juga 2013. Pada tahun pertama penyertaan Malaysia yang diadakan di Portugal, pasukan negara berjaya meletakkan diri dalam kelompok 10 terbaik manakala pada tahun berikutnya di Sepanyol, pasukan futsal wanita negara berjaya berada di tempat ke 9.

Ia adalah pencapaian yang baik dan boleh dibanggakan.

“Sukan dan jantina adalah seperti batu yang cuba kita pecahkan. Orang telah cuba memecahkannya pada masa sebelum kita lagi.

“Ia adalah corak yang sama, wanita tidak selalu mendapat tempat pada sukan yang di dominasi oleh lelaki.” Katanya.

Bagi beliau, kekurangan ini adalah disebabkan stigma masyarakat kita yang melihat wanita sebagai wanita – lemah lembut, berbudi bahasa dan membantu kamu lelaki.

Tetapi bagi beliau, wanita harus di pandang lebih daripada itu. Kerana pada zaman serba moden ini, wanita juga boleh melakukan apa yang kaum lelaki mampu lakukan.

Dari kiri – Raja Shahzan Alam Shah Bin Raja Abu Bakar Shah, YM Dato’ Indera Tun Putera Matin Ahmad Shah Dato’ Munir, Yang Hormat Dato’ Setia Pahlawan Yang Mulia Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah Bin Tengku Kamil Ismail, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, YM Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Munir, Encik Omar Emad Mohamed Nafie Abdelwahab, Encik Frank Tiew.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan bahawa telah wujud usaha-usaha daripada badan induk bola sepak untuk meningkatkan sukan bola sepak wanita.

“Ia telah berlaku, tetapi dalam kadar yang perlahan. Tetapi selagi anda bergerak ke arah mengubah pandangan masyarakat terhadap wanita dan benar-benar memperkasakan kaum wanita untuk mereka percaya dengan diri mereka, saya percaya suatu hari nanti kita akan melihat sesuatu yang positif.”

Dalam memperkasakan sukan ini, semua orang patut bekerja dalam satu unit dan bukannya meletakkan label kepada sesiapa tidak mengira jantina, bangsa atau agama.

Tengku Puteri Ilisha turut berkongsi cadangan apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang sukan ini.

“Apa yang boleh ditambah baik adalah dengan memperbanyakkan lagi kempen kesedaran bahawa sukan bola sepak adalah untuk semua dan kita perlu mula mengiktiraf wanita dengan kekuatan, kemahiran dan keazaman mereka.” Katanya