Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Pertemuan dua seteru pantai timur

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyifatkan pertembungan Terengganu FC (TFC) bakal menjadi satu perlawanan yang cukup mengujakan buat peminat-peminat bola sepak tempatan.

Derbi Pantai Timur itu bakal disaksikan selepas Pahang diundi bertemu TFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada aksi suku akhir pertama Shopee Piala FA 2019.

Jelas Dollah, beliau percaya pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim turut memandang perkara sama pada aksi tersebut di mana bekas jurulatih PDRM itu mengakui tidak rela rebah awal di bumi Terengganu.

Sebagai rekod, pusingan suku akhir pertama Shopee Piala FA 2019 berlangsung pada 30 April dan 1 Mei manakala aksi kedua dijadualkan bermula pada 10 dan 11 Mei depan.

“Kita tahu kelebihan TFC dan saya percaya jurulatih (TFC) Irfan juga cukup mengenali pasukan saya.

“Apa yang penting kedua-dua pasukan ini bermain dengan baik dan saya percaya Pahang akan berikan 100 peratus untuk bermain di gelanggang lawan dulu di mana kami harus berwaspada,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dollah meramalkan Dickson Nwakaeme tidak dapat diturunkan bertemu TFC pada pusingan pertama Shopee Piala FA 2019 selepas penyerang import itu ditimpa masalah kecederaan hamstring.

“Saya tidak pasti (Dickson dapat diturunkan bertemu TFC) tetapi berdasarkan pengalaman saya ia mengambil masa selama dua minggu.

“Apapun saya kena pastikan siapa yang akan beraksi nanti jika Dickson tidak dapat diturunkan,” ujarnya.

Dalam undian pusingan suku akhir Shopee Piala FA itu turut menyaksikan PKNS FC bertemu juara empat kali Piala FA, Kedah dan PKNP FC menentang Perak manakala Kuala Lumpur bertemu Felda United.

Sementara itu, Dollah berharap pasukan bimbingannya yang menewaskan UKM FC 1-0 pada pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019, dapat memperbaiki rentak persembahan sebelum berkunjung ke Terengganu.

“Semua perlawanan kita bergelut untuk bermain sekarang tetapi apa yang saya puas hati dengan pemain bahawa kita sentiasa berjuang.

“Cuma kadang-kadang kita agak sedikit leka dan kelemahan itu yang perlu kami perbetulkan tetapi daripada segi permainan kita berada di tahap yang baik,” katanya.