Pasukan Kedah sedia mengutip tiga mata penuh ketika menentang Kuala Lumpur (KL) malam ini dalam saingan Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Kedah telah kehilangan beberapa mata setelah tewas ke atas Pahang dan seri dengan Johor Darul Ta’zim pada dua perlawanan terakhir.
Justeru, Aidil Sharin Sahak, pengendali Kedah mahu anak buahnya fokus dan tidak mengambil mudah lawan mereka dari Ibu Kota
“Kita tidak sesekali akan mengambil mudah dalam saingan berdepan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia termasuk KL. Kita akan pastikan perancangan kita berjalan dengan baik.
“Kita tahu KL berjaya mencatat kemenangan yang melayakkan pasukan itu ke pusingan ketiga Piala FA. Ini sudah pasti memberi semangat serta motivasi yang baharu buat mereka.”
“Pencapaian mereka (KL) dalam Liga Super hari ini adalah kisah semalam. Apa yang berlaku besok akan menjadi rekod baharu dan oleh itu kita perlu lebih berwaspada, “ katanya mengulas pertemuan menentang KL.
Untuk rekod, Kedah akan turun tanpa pertahanan kanan, Rizal Ghazali akibat pengantungan kad kuning.