Malaysia Berita

FAM tubuh panel kajian teknikal, fokus kaji pemain naturalisasi

Panel kajian teknikal telah diwujudkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia bagi mengkaji proses pengambilan pemain naturalisasi bagi mewakili negara.

Ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi itu akan turut dianggotai Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Satiananthan.

Selain daripada itu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan pengendali bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee akan turut serta menjadi sebahagian daripada panel kajian.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kepada Arena Metro, panel kajian adalah mekanisme terbaik bagi mengkaji pemilihan pemain naturalisasi termasuk mengambil kira faktor umur dan persembahan.

“Kita perlu ingat pengambilan pemain naturalisasi ini macam satu proposal yang kita perlu tahu bagaimana proses dan syarat yang perlu kita patuh. Macam mana proses dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“FAM ada kumpulan yang akan mengkajinya,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, di sini, semalam.

Sebelum ini wujud kerisauan dikalangan pemain belia negara dengan bakat mereka bakal disisihkan jika FAM mengambil pemain naturalisasi.

Tetapi bagi Hamidin, ia tidak akan menjejaskan pemain belia negara terutamanya untuk pelan jangka panjang.

“Saya rasa ia tidak akan ramai. Kita ikut proses. Kalau lima (pemain) adakah akan jejaskan pemain belia? Saya rasa tidak,” katanya yang meminta peminat bola sepak tempatan memberi sokongan penuh terhadap agenda yang ingin dilaksanakan FAM.

Beliau juga berkata perkara ini perlu perbincangan yang terperinci dengan MFL dan KDN.

“Perlu bincang dengan MFL mana pemain ini (pemain naturalisasi) akan diletakkan dalam liga jika kita ambil mereka dan saya rasa tanpa kelulusan daripada KDN ia juga tidak akan berjaya,” katanya kepada Arena Metro