Luar Negara Berita

Juruterbang buta warna dan tidak dibenarkan terbang diwaktu malam – Cardiff City

Cardiff dilaporkan terkejut dengan laporan bahawa juruterbang yang membawa Emiliano Sala tidak mendapat kebenaran untuk menerbangkan pesawat pada waktu malam.

Cardiff yang bermain di Liga Perdana berkata mereka tetap ‘prihatin’ dengan nasib yang menimpa juruterbang David Ibbotson dan menyalahkan pihak yang mengatur penerbangan terbabit sebagai “tidak menghiraukan peraturan penerbangan dan meletakkan kehidupan Sala dalam bahaya itu”.

Sala meninggal dunia dua hari selepas Cardiff menandatangani penyerang Argentina dari kelab Perancis, Nantes selepas pesawat yang membawa beliau dilaporkan terhempas di Selat Inggeris pada 21 Januari.

(Photo by Stu Forster/Getty Images)

BBC semalam melaporkan bahawa Ibbotson sebenarnya buta warna dan lesen yang dipegangnya hanya dibenarkan pada waktu siang sahaja.

Cardiff berkata dalam satu kenyataan, “Cardiff City terkejut mendengar juruterbang, David Ibbotson, tidak dibenarkan terbang pada waktu malam.

“Kelab masih sangat prihatin bahawa juruterbang, dan mereka yang mengatur penerbangan itu, seolah-olah sepenuhnya mengabaikan peraturan penerbangan dan meletakkan kehidupan Sala dalam bahaya.

“Kami percaya mereka yang bersalah harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan mereka.

“Kami mengulangi sokongan kami terhadap Persatuan Piagam Udara untuk lebih banyak kesedaran dan penguatkuasaan yang lebih baik terhadap penerbangan haram.”