Berita Asia Tenggara

Kim Swee Mahu Pemain Fokus Buru Kemenangan

Skuad bawah 22 (B-22) negara bakal turun menentang Myanmar dalam misi memburu kemenangan sambil mengharapkan Kemboja berjaya menyekat Indonesia pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung serentak esok di Stadium RSN dan Stadium Olimpik.

Saingan masih terbuka buat tiga pasukan – Myanmar, Indonesia dan Malaysia – untuk layak ke separuh akhir setelah Kemboja meloloskan diri ke separuh akhir dengan mudah apabila mencatat dua kemenangan awal.

Justeru bagi pengendali negara, Ong Kim Swee mahu para pemain kekal fokus bagi membawa pulang tiga mata penuh.

“Kita tak perlu memikirkan tentang apa yang akan berlaku antara Kemboja dan Indonesia. Jika kita tidak fokus ataupun tidak bermain dengan baik untuk mendapatkan tiga mata tetapi akhirnya Kemboja mengalahkan Indonesia tidak guna juga.

“Jika kita berjaya dapatkan kemenangan dan keputusan lain pula memihak Indonesia itu bukan dalam kawalan kita.

“Apapun, saya harap apabila berakhirnya perlawanan esok kita akan dapat keputusan positif dan seterusnya layak. Tetapi jika berlaku sebaliknya, dah tentu ini menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain,” katanya kepada Berita Harian.