Liga Super Malaysia Berita

Pasukan Liga Super Belanja Lebih RM200 Juta

Difahamkan lebih RM200 juta telah dibelanjakan oleh keseluruhan 12 pasukan Liga Super bagi mempersiapkan pasukan menjelang kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Jumlah perbelanjaan merangkumi pembelian pemain import, jurulatih baharu dan pengurusan pasukan.

Tetapi nilai perbelanjaan tidak melambangkan persembahan pasukan. Ia bukanlah ukuran prestasi tetapi lebih kepada meningkat mutu pasukan dan juga mengelak daripada ditinggalkan pasukan lawan.

Memetik kata-kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kepada Berita Harian, Dr Johan Kamal Hamidon, perbelanjaan berhemah perlu dititikberatkan bagi mengelak isu kewangan yang bakal dihadapi di masa akan datang.

“Perbelanjaan kami mungkin sedikit melebihi musim lalu, dalam RM18 juta. Setakat ini semua bagus dan pemain yang dibawa masuk ada kualiti, tapi apa yang penting kami tidak ‘pecah tabung’.

“Kami sangat berwaspada dalam berbelanja dan jika dilihat pun kami banyak melepaskan beberapa pemain yang bergaji besar sebelum ini,” katanya kepada Berita Harian.

Bagi beliau, perkembangan pasukan berada tahap positif tetapi perkara yang perlu dititik beratkan adalah beberapa isu tentang pusat latihan yang tidak dibaik pulih.

Kos dan perbelanjaan ini dipaparkan oleh Berita Harian dengan pasukan yang paling banyak berbelanja adalah Johor Darul Ta’zim dan juga skuad Perak dengan kedua-dua pasukan difahamkan berbelanja diantara RM 25 juta hingga RM 30 juta.

Pasukan kedua yang berbelanja lebih daripada RM20 juta adalah bekas juara double treble, skuad Helang Merah. Pasukan daripada utara terbabit berbelanja sebanyak RM20 juta hingga ke RM25 juta bagi mempersiapkan pasukan.

Manakala lima pasukan lain Pahang, Selangor, Terengganu Melaka dan PKNS FC masing-masing berbelanja sehingga RM15 juta dan tidak melebihi RM20 juta.

Bagi pasukan PKNP, Kuala Lumpur dan dua pendatang baru, FELDA United dan MIFA berbelanja tidak lebih daripada RM 15 juta dan ke bawah.

Perbelanjaan yang besar beberapa pasukan diharapkan tidak akan mengakibatkan isu tunggakan gaji berlaku serta beberapa faktor lain yang akan merugikan pasukan.