Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo menyatakan bahawa pasukannya tidak gentar untuk turun menentang juara empat kali, Jepun dalam perlawanan suku akhir Piala Asia 2019 di Stadium Al Maktoum, hari ini.
Vietnam memulakan kempen dengan tewas pada perlawanan pertama dengan Iraq, selepas itu tewas buat kali kedua bersama Iran. Vietnam bangkit pada perlawanan ketiga untuk menundukkan Yemen 2-0 dan menuju ke Pusingan 16 dengan rekod disiplin yang baik biarpun menduduki tempat ketiga dalam kumpulan.
Ketika perlawanan dengan Jordan pada saingan 16 terbaik, Vietnam ketinggalan 1-0 sebelum tendangan Nguyen Cong Phuong pada babak kedua mendorong permainan dibawa ke sepakan penalti yang menyaksikan Jordon tersingkir daripada kempen Piala Asia.
Pada peringkat suku akhir, Vietnam bakal bertemu Samurai Biru dan Park percaya kemampuan serta pengalaman bersaing dengan pasukan yang lebih kuat sebelum ini telah meningkatkan keyakinan Vietnam.
“Jepun mempunyai cara bermain yang berbeza, tetapi setelah bermain dengan Iraq dan Iran, antara pasukan yang kuat, ia sangat membantu para pemain kami yang bakal menentang Jepun,” kata Park.
“Pemain Jepun berpengalaman dan mahir secara individu. Oleh itu kita perlu melakukan yang terbaik dan bersedia dengan sempurna untuk mengambil cabaran ketika bertemu Jepun esok. ”
“Selepas memenangi Kejuaraan AFF 2018, matlamat pertamanya untuk pertandingan ini adalah untuk mencapai Pusingan 16 dan kami telah mencapai kejayaan itu.
“Saya tidak fikir mana-mana pasukan boleh meningkatkan secara mendadak. Walaupun kami tidak boleh meramalkan keputusan esok, saya percaya pemain Vietnam akan mendapat manfaat daripada pengalaman itu.
“Ramai orang menjangkakan Jepun akan menang esok, tetapi pasukan kami bekerja keras untuk mencapai kemenangan dan saya percaya pemain kami akan bertarung sehingga akhirnya tanpa rasa takut.” katanya