Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Farizal Percaya Rakan Sepasukan, Minta Baiki Kelemahan Segera

Farizal Marlias adalah watak penting yang menyelamatkan gawang gol negara daripada terus dibolos oleh Vietnam walaupun skuad Harimau Malaya telah melepaskan dua gol.

Ketiadaan beberapa pemain tonggak utama seperti Aidil Zafuan dan Syahmi Safari dibahagian pertahanan dilihat sebagai salah satu punca mengapa pertahanan skuad negara dilihat goyah dan tidak konsisten.

Tetapi bagi penjaga gawang pasukan Johor Darul Ta’zim, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana percaya pada kemampuan 23 pemain.

“Untuk saya ketiadaan Aidil (Zafuan Abd Radzak) atau Syahmi (Safari) tidak membawa masalah kerana saya percaya kepada semua rakan sepasukan dan kami juga tidak kisah siapa yang diturunkan atau tidak,” kata Farizal.

Skuad negara kehilangan Aidil Zafuan dan Syahmi Safari pada separuh akhir kedua bertemu Thailand di Stadium Rajamangala yang menyaksikan Aidil terpaksa diketepikan kerana kecederaan manakala Syahmi dilayangkan kad merah pada saat-saat akhir permainan.

Selain daripada itu, Farizal berharap kesemua pemain dapat mengatasi setiap kelemahan menjelang aksi perlawanan akhir kedua di Hanoi nanti.

“Kami mudah hilang bola, tetapi kami juga berjaya merampasnya secepat mungkin sebaik kehilangannya.

“Ini adalah kesilapan kecil yang mampu menghukum kami, jadi saya berharap kami berjaya mengatasinya, membaiki taktikal permainan dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama.” Kata beliau kepada Berita Harian.