Malaysia bakal menghadapi misi hidup mati ketika menerima kunjungan Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Myanmar yang berada di kedudukan kedua Kumpulan A di belakang Vietnam hanya memerlukan seri untuk layak ke peringkat seterusnya. Berbanding pasukan Harimau Malaya yang berada di kedudukan ketiga dibelakang Myanmar memerlukan kemenangan ke atas pasukan pelawat jika mahu layak ke separuh akhir.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang akan bermain dihadapan para penyokong Malaysia perlu menggunakan kelebihan ini untuk menyajikan aksi terbaik bagi memastikan pasukan Malaysia menang ke atas Myanmar.
Timbalas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata kepada Berita Harian bahawa skuad negara perlu menggunakan kelebihan bermain dihadapan penyokong sendiri serta berharap agar lebih ramai penyokong skuad kebangsaan akan turun bagi memeriahkan lagi bahang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A.
“Ini adalah perlawanan hidup mati kedua-dua pasukan dengan Myanmar hanya perlu seri dan tekanan mungkin lebih terarah kepada kita. Malah, bila bermain di Bukit Jalil kita jangka penyokong Myanmar pun ramai akan hadir.
“Jadi, kita harap seluruh penyokong Harimau Malaya dapat memenuhi stadium dan memberi sokongan kerana semua pemain sangat mengharapkan sorakan daripada penyokong untuk menaikkan lagi moral mereka.
“Memang ini perlawanan yang sukar tapi dengan kehadiran penyokong yang ramai, saya percaya Harimau Malaya akan lebih menyerlah seterusnya meraih kemenangan,” katanya.
Myanmar pernah mengejutkan pasukan negara pada Piala AFF Suzuki edisi 2016 apabila menunjukkan Harimau Malaya jalan keluar pada saingan peringkat kumpulan. Malaysia yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee ketika itu pasti tidak mahu mengulangi detik hitam itu lagi.
Oleh kerana ini, skuad negara disarankan tidak mengambil mudah perlawanan dengan Myanmar walaupun mereka akan bermain dihadapan penyokong sendiri kerana Myanmar adalah pasukan yang sedang meningkat naik.
“Saya melihat aksi Myanmar lawan Vietnam kelmarin dan dari segi kekuatan pasukan sebenarnya mereka tidak banyak berbeza dengan kita.
“Kita cuma perlu perbaiki kesilapan terutama di bahagian pertahanan kerana saya fikir tiada masalah untuk memenangi perlawanan ini.
“Saya percaya jurulatih juga sudah ada perancangan kerana jika melihat kemahiran individu, semua pemain kita sangat bagus dan mampu bersaing,” katanya.