Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berucap pada Persidangan Bolasepak Dunia Asia (WFSA) yang akan berlangsung pertama kali di Asia pada April depan.
Tunku Ismail yang pernah berucap pada kali pertama di Madrid pada 2016 diberi penghormatan sekali lagi oleh WFSA untuk berucap buat kali kedua untuk tahun ini.
Perkara ini telah diumumkan oleh Tunku Ismail sendiri menerusi laman Twitter milik Tunku, malam tadi.
“WFSA memberi peluang kepada tokoh berpengaruh dalam dunia bola sepak untuk bertemu dan membincangkan topik-topik yang berkaitan selain menjana peluang perniagaan.
“Ia adalah satu platform untuk bergaul dengan golongan elit dan ternama dalam industri bola sepak. Saya berucap pada WSF di Madrid pada 2016 dan sekali lagi dijemput untuk berbuat demikian pada 2018.
“Ini kali pertama persidangan itu diadakan di Asia dan ini akan memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi pengalaman menguruskan JDT serta dalam proses melangkah lebih jauh lagi untuk Harimau Selatan,” kata Tunku Ismail.
Tema yang bakal diangkat pada kali ini adalah ‘Di mana industri bola sepak Asia bertemu’, persidangan ini bakal dihadiri oleh tokoh-tokoh ternama bolasepak dunia seperti residen La Liga, Javier Tebas serta Ketua Transformasi Digital dan Pegawai Inovasi Antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).