Liga Super Malaysia

PKNS FC Kekal Khidmat Rajagopal

PKNS FC akan terus dikendalikan oleh Datuk K Rajagopal musim hadapan apabila pengurusan kelab itu mengambil keputusan untuk mengekalkan beliau selaku jurulatih pada musim hadapan.

Selain daripada itu, pengurusan kelab juga menyatakan bahawa 11 pemain utama akan dikekalkan selain akan menambah beberapa nama lain.

Rajagopal dalam kenyataannya menyatakan penghargaan kepada pemain yang bertungkus lumus pada saingan musim lepas.

“Sebagai jurulatih, saya akan memberikan sepenuh tenaga, komitmen dan jiwa raga kepada pasukan.

“Saya juga akan memberikan yang terbaik untuk kelab ini kekal kompetitif dalam saingan Liga M musim depan,” katanya kepada Arena Metro

Sebagai rekod, bekas pengendali Harimau Malaya itu telah berjaya membawa PKNS FC berada dalam kumpulan pencabar Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan menamatkan saingan di tempat ketiga, serta mara ke separuh akhir Piala FA, layak ke suku akhir Piala Malaysia dan menjuarai Piala Sultan Selangor.