Walaupun masuk sebagai pemain gantian dan mempunyai tempoh 30 minit sahaja untuk menjaringkan gol, Shahrel Fikri tetap mahu membuktikan bahawa penghijrahan beliau ke Thailand adalah berbaloi dan ternyata kehadirannya memberi impak besar apabila Malaysia berjaya menewaskan Kemboja 3-1 di tempat lawan.
Beliau hampir menjaringkan gol penyamaan namun ditepis keluar penjaga gol Kemboja sebelum bola muntah disudahkan oleh Shahrul Saad dengan mudah dihadapan pintu gol.
Shahrel kemudiannya melakukan hantaran silang kepada Syazwan Andik yang tidak dikawal oleh sesiapa lantas mudah menanduk masuk gol kedua Malaysia.
Malah, di minit-minit akhir perlawanan, Shahrel Fikri tetap terus melakukan serangan dan apabila mendapat bola dalam kedudukan yang baik, beliau tidak berfikir terlalu lama sebaliknya terus melakukan rembatan ke gol untuk memastikan kemenangan Malaysia.
Komitmen yang ditunjukkan oleh Shahrel menggembirakan penyokong tempatan lagi-lagi apabila perpindahannya ke Nakhon Ratchasima membuahkan hasil yang cukup bermakna.
“Saya masuk ke padang dengan motivasi tinggi untuk mendapatkan kemenangan di tempat lawan, sudah lama kita tak menang di tempat lawan, jadi saya bertekad buat impak yang besar sebab saya pemain yang beraksi di luar negara.
“Jadi, saya nak tunjukkan pengalaman saya di sana dapat membantu skuad kebangsaan selain mahu buktikan bahawa saya boleh berada dalam kesebelasan utama pasukan ini,” jelas Shahrel.
Shahrel Fikri ketika ini sudah beraksi di Thailand hampir tiga bulan dan prestasinya setakat ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Walaubagaimanapun bagi Shahrel, beliau akui masih banyak yang perlu ditingkatkan dalam permainannya jika mahu disenaraikan dalam skuad utama Piala AFF Suzuki 2018.
“Insya-Allah selepas ini saya akan kembali ke kelab dan perlu terus meningkatkan prestasi serta memperbaiki kelemahan diri. Tengok nanti macam mana keputusan jurulatih Tan Cheng Hoe untuk perlawanan seterusnya,” katanya.